Kenapa Menangis?
Cuba kita perhatikan keadaan masyarakat di sekeliling kita. Kenapa
mereka menangis? Ada yang menangis kerana pasukan bola yang dicintai
kalah dengan pasukan lain. Ada yang menangis kerana kononnya dikecewakan
oleh kekasih yang dicintainya. Ada juga mungkin yang menangis ketika
melihat anak-anaknya atau ibu bapanya yang tercinta melakukan
perkara-perkara salah dan tak ikut syariat. Ada yang menangis kerana
mendapat memberikan sumbangan atau menerima penganugerahan yang sangat
dicintai.
Jadi, kalau kita perhatikan semula semua contoh kes yang saya sebutkan
satu per satu tadi, terlalu banyak sebab kenapa seseorang itu menangis.
Cuma, daripada kita sibuk membicarakan tentang masalah orang lain
'kenapa mereka menangis'. Adalah lebih baik jika kita tanyakan pada diri
kita sendiri,
"Kenapa kita menangis?"
Adakah tangisan kita itu merupakan tangisan yang memadamkan api neraka
dan akhirnya membawa kita ke syurga, atau sebenarnya tangisan itu ialah
tangisan-tangisan murahan yang mengheret kita ke neraka.
Tanyakan pada diri kita sekarang. Kenapa?
Jika kita perhatikan juga kenapa kebanyakan manusia itu menangis,
nescaya kita akan mendapati hampir semua daripada mereka menangis kerana
cinta. Cinta terhadap masalah akhirat atau masalah dunia, itu yang
perlu kita perdalamkan lagi kajiannya, Tidak kisahlah sama ada mereka
mendapat sesuatu atau kehilangan sesuatu. Seseorang itu hanya akan
menangis apabila sesuatu perkara yang terjadi atau terlibat dalam
kehidupannya itu ada kaitan yang sangat rapat dengan rasa cinta dia pada
sesuatu itu.
Ada orang menangis, itu belum tentu kerana masalah dia sedang bersedih.
Ada juga orang yang ketawa kelihatan gembira, tetapi itu belum tentu
kerana dia bahagia. Kalau kita perhatikan orang-orang yang duduk dalam
Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan, berapa ramai orang yang bergelak
ketawa dalam tu? Gembira sungguh kalau kita lihat hingga mungkin ada
yang teringin untuk jadi macam mereka kerana dah bosan dengan stress
kehidupan. Masya-Allah, mestilah ramai, tetapi adakah benar mereka
bahagia? Belum tentu..
Suatu masa ketika zaman muda-muda dahulu, ketika kita melihat mak ayah
kita menangis ketika kita mendapat keputusan yang baik dan cemerlang
dalam peperiksaan. Adakah itu bermaksud bahawa mereka sedih atas apa
yang kita perbuat? Belum tentu..
Kerana Allah
Kenapa kita menangis? Pastikanlah jawapannya ialah kerana kita takutkan
Allah. Takut kepada Allah bukanlah seperti takut kita kepada hantu atau
pemimpin yang zalim. Mereka itu wajarlah kita takut kerana muka buruk,
menyusahkan orang dan lain-lain. Tetapi, takutnya kita kepada Allah
kerana kita cintakan Dia. Takut kita kepada Allah kerana kita risau
seandainya kita adalah insan yang kerap berbuat dosa, takut nanti Dia
mula tidak mencintai kita.
Kenapa kita menangis? Pastikanlah jawapannya adalah kerana kita
merupakan hamba yang sering berbuat dosa. Setiap kata-kata-Nya kita
tidak mahu dengar, tidak mahu ikut, bahkan kadang-kadang kita menjauhkan
diri kita daripada mendengar kata-kata-Nya dan melawan kata-kata-Nya.
Lebih malang lagi apabila kita adalah orang-orang yang berkomplot dalam
membuat usaha-usaha menghalang orang lain daripad amendegar kata-kata
Allah. Maka menangislah dan bertaubalah kepada Allah kerana keika kita
menjadi hamba yang degil, masih saja nikmat dari-Nya itu diberikan
kepada kita. Diberikan kita peluang untuk bernafas dan terus menikmati
kehidupan hari demi hari. Dan lebih pelik lagi, Allah memberikan kita
kebaikan-Nya dengan meletakkan kita dalam suasana tarbiyah. Menjadi
salah seorang daripada orang yang cuba menghidupkan dakwah pada hari
ini. Masihkah kita tidak mahu menangis untuk itu?
Di saat kita memberikan alasan halangan keluarga menjadi sebab tidak
dapat menghidupkan dakwah, di saat kita memberikan alasan tidak cukup
ilmu menjadi sebab tidak dapat menghidupkan dakwah, di saat kita
memberikan alasan sibuk dengan kerja dan ijazah menjadi sebab tidak
dapat menghidupkan dakwah, tetapi.. Pernah tidak kita dengar alasan
daripada jantung kita untuk berhenti berdenyut kerana kita sedang
melakukan perkara maksiat terhadap Allah? Mata kita letih melayan nafsu
kita daripada melihat perkara dan benda yang bukan-bukan lalu dia terus
mematikan fungsinya? Maaf, tidak! Kerana apa? Kerana Allah masih
sayangkan kita, kerana itu Dia tidak memerintahkan jantung untuk terus
terhenti dan mata terus membutakan dirinya.
Tetapi, cuba lihat pada diri kita. Pernahkah kita menangis untuk itu? Jika pernah, tanyakan lagi,
"Kerana apa kita menangis?"
Kerana cinta kepada Allah, Rasul dan Jihad?
Atau kerana masalah-masalah keduniaan yang tidak membawa sedikit manfaat pun untuk kita di akhirat kelak mahupun dunia sekarang.
Tangisan Mereka
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan Zaid bin Thabit, ketika Zaid bin
Thabit menjadi penulis Rasulullah dan sedang menulis surah at-Taubah
sehingga sampai kepada ayat perintah jihad, dia meletakkan pen
ditelinganya. Rasulullah SAW menunggu wahyu yang seterusnya. Kemudian
datang seorang buta bertanya.
“Bagaimana saya yang buta ya Rasulullah?”
Maka turunlah ayat ini (surah at-Taubah, 9:91) dengan memberi
kelonggaran supaya tidak ikut berperang kepada orang yang lemah, cacat
ataupun miskin (sampai tak ada apa-apa) asalkan mereka ikhlas kepada
Allah.
“Orang yang lemah dan orang yang sakit, dan juga orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang yang berusaha membaiki amalannya, dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
[QS at-Taubah, 9:91]
Masya-Allah! Seorang yang buta bertanya kepada Rasulullah akan
kedudukannya dalam berkorban untuk agama Allah! Kita yang sihat ini
pernah tak terfikir nak tanya tentang benda-benda itu semua?
Dalam riwayat lain pula, dari Ibnu Hatim dari al Ufi dari Ibnu Abbas,
ketika Rasulullah memerintahkan orang-orang berangkat berjihad
bersamanya, datanglah segolongan sahabat di bawah pimpinan Abdullah bin
Maqil al Muzani yang berkata,
“Ya Rasulullah! Berilah kami tunggangan.”
Rasulullah bersabda,
“Demi Allah tidak ada lagi tunggangan yang dapat mengangkut kalian semua.”
Berlinanglah air mata mereka menyesali diri kerana tidak ada bekalan dan
tunggangan untuk turut serta berjihad dan berkorban di jalan Allah.
Maka turunlah ayat,
“Dan tidak juga berdosa orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: “Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu,” mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan air mata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah).”
[QS at-Taubah, 9:92]
Mereka menangis sebab tak dapat nak pergi buktikan cinta mereka..
Kalau kita macam mana? Menangis atau sebaliknya?
...
Diriwayatkan bahawa surah Al-Maaidah ayat 3 diturunkan pada sesudah
waktu asar yaitu pada hari Jumaat di padang Arafah pada musim haji
penghabisan [Wada']. Pada masa itu Rasulullah SAW berada di atas
unta. Ketika ayat ini turun Rasulullah SAW tidak begitu jelas
penerimaannya untuk mengingati isi dan makna yang terkandung dalam ayat
tersebut. Kemudian Rasulullah SAW bersandar pada unta beliau, dan unta
beliau pun duduk perlahan-lahan. Setelah itu turun malaikat Jibrail dan
berkata:
"Wahai Muhammad, sesungguhnya pada hari ini telah disempurnakan urusan agamamu, maka terputuslah apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan demikian juga apa yang terlarang oleh-Nya. Oleh itu kamu kumpulkan para sahabatmu dan beritahu kepada mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir aku bertemu dengan kamu."
Setelah malaikat Jibrail pergi maka Rasulullah SAW pun berangkat ke
Mekah dan terus pergi ke Madinah. Rasulullah SAW lalu mengumpulkan para
sahabat baginda, dan menceritakan apa yang telah diberitahu oleh
malaikat Jibrail. Apabila para sahabat RA mendengar hal yang demikian
maka mereka pun gembira sambil berkata:
"Agama kita telah sempurna. Agama kita telah sempurna."
Apabila Abu Bakar RA mendengar keterangan Rasulullah SAW itu, maka ia tidak dapat menahan kesedihannya. Abu Bakar RA pulang ke rumah lalu mengunci pintu dan menangis sekuat-kuatnya. Abu Bakar RA menangis dari pagi hingga ke malam.
Kisah tentang Abu Bakar RA menangis telah sampai kepada para sahabat
yang lain. Maka berkumpullah para sahabat RA di depan rumah Abu Bakar RA
dan bertanya:
"Wahai Abu Bakar, apakah yang telah membuat kamu menangis sehingga begini sekali keadaanmu? Seharusnya kamu merasa gembira sebab agama kita telah sempurna."
Mendengarkan pertanyaan dari para sahabat RA maka Abu Bakar RA pun berkata,
"Wahai para sahabatku, kamu semua tidak tahu tentang musibah yang menimpa kamu, tidakkah kamu tahu bahawa apabila sesuatu perkara itu telah sempurna maka akan kelihatanlah akan kekurangannya. Dengan turunnya ayat tersebut bahawa ia menunjukkan perpisahan kita dengan Rasulullah SAW. Hasan dan Husin menjadi yatim dan para isteri Rasulullah menjadi janda."
Setelah mereka mendengar penjelasan dari Abu Bakar RA maka sedarlah mereka akan kebenaran kata-kata Abu Bakar RA, lalu mereka menangis dengan sekuat-kuatnya.
Tangisan mereka telah didengar oleh para sahabat yang lain, maka mereka
pun terus memberitahu Rasulullah SAW tentang kejadian yang mereka
saksikan itu.
Berkata salah seorang dari para sahabat RA,
"Ya Rasulullah, kami baru kembali dari rumah Abu Bakar dan kami dapati ramai orang menangis dengan suara yang kuat di depan rumah beliau."
Apabila Rasulullah SAW mendengar keterangan dari para sahabat, maka
berubahlah muka Rasulullah SAW dan dengan bergegas beliau menuju ke
rumah Abu Bakar RA.
Sebaik Rasulullah SAW sampai di rumah Abu Bakar RA, Rasulullah SAW melihat kesemua mereka menangis dan bertanya,
"Wahai para sahabatku, kenapakah kamu semua menangis?."
Kemudian Ali RA berkata,
"Ya Rasulullah, Abu Bakar mengatakan dengan turunnya ayat ini membawa tanda bahwa waktu wafatmu telah dekat. Adakah ini benar ya Rasulullah?."
Lalu Rasulullah SAW berkata:
"Semua yang dikatakan oleh Abu Bakar adalah benar, dan sesungguhnya waktu untuk aku meninggalkan kamu semua telah dekat".
Sebaik sahaja Abu Bakar RA mendengar pengakuan Rasulullah SAW, maka
ia pun menangis sekuat tenaganya sehingga ia jatuh pengsan, sementara
Ali RA pula mengeletar seluruh tubuhnya, para sahabat yang lain pula
menangis sekuat yang mereka mampu. Sehinggakan gunung-ganang, semua
malaikat yang ada di langit, cacing-cacing, semua binatang baik yang ada
di darat maupun yang ada di laut semua menangis. Kemudian Rasulullah
SAW bersalam dengan para sahabat RA satu demi satu dan berwasiat pada
mereka.
Di sisi yang lain
Bilal menjadi tukang azan Rasulullah SAW sepanjang hidup beliau. Pernah
berlaku suatu ketika semasa Rasulullah SAW wafat, Bilal mengumandangkan
azan tetapi apabila sampai kepada perkataan:
Yang bermaksud: Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah Rasulullah. Bilal
menangis tersedu-sedu kemudian meminta daripada Abu Bakar RA supaya
mengecualikan beliau daripada azan kerana beliau tidak dapat lagi
menanggung kesedihan selepas kewafatan Rasulullah SAW.
Setelah itu Bilal pergi bersama-sama dengan delegasi dakwah pertama umat
Islam kemudian beliau tinggal menetap di Darya (sebuah tempat
berhampiran dengan Damsyik) sehinggalah Al-Faruq Umar bin Al-Khattab
datang ke Damsyik dan meminta Bilal supaya mengumandangkan azan sekali
lagi kerana Umar terlalu mengasihi dan menghormati beliau. Umar pernah
berkata:
"Abu Bakar adalah tuan kita dan beliau telah memerdekakan tuan kita",
Maksudnya ialah Bilal RA.
Apabila Bilal mengumandangkan azan, Umar dan seluruh para sahabat yang ada pada masa tersebut yang pernah mendengar suara azan tersebut pada zaman Rasulullah SAW terus
menangis tersedu-sedu kerana mereka terlalu terkenangkan suara azan
tersebut yang sudah lama tidak didengari mereka sejak kewafatan
Rasulullah SAW dan perasaan mereka terlalu tersentuh menyebabkan mereka
semua menangis.
Itulah Mereka, Menangis kerana Cinta...
أُولَٰئِكَ
الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ مِنْ
ذُرِّيَّةِ آدَمَ وَمِمَّنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ وَمِنْ ذُرِّيَّةِ
إِبْرَاهِيمَ وَإِسْرَائِيلَ وَمِمَّنْ هَدَيْنَا وَاجْتَبَيْنَا ۚ إِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ آيَاتُ الرَّحْمَٰنِ خَرُّوا سُجَّدًا وَبُكِيًّا
۩
"Mereka itulah orang yang telah diberikan nikmat oleh Allah, iaitu
dari (golongan) para nabi dari keturunan Adam, dan dari orang yang Kami
bawa (dalam kapal) bersama Nuh, dan dari keturunan Ibrahim dan Israil
(Yaakub) dan dari orang yang telah Kami beri petunjuk dan telah Kami
pilih. Apabila dibacakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pengasih kepada
mereka, maka mereka tunduk sujud dan menangis."
[QS maryam, 19:58]