Pages

Showing posts with label Doa dan Adab Sunnah. Show all posts
Showing posts with label Doa dan Adab Sunnah. Show all posts

Sunday, 17 March 2013

Sunnah Rasulullah SAW dalam menyambut kelahiran bayi

Antara perkara yang Rasulullah SAW letakkan keutamaan yang sangat tinggi adalah DIDIKAN GENERASI AKAN DATANG. Baginda memikirkan 'didikan awal' jauh diluar batasan pemikiran manusia. Nabi SAW jadikannya penting sejak sebelum perkahwinan lagi... semasa memilih calon dan kemudian proses mengandung dan sebagainya. Bayi sangat suci semasa dilahirkan, maka hubungkanlah terus dengan amalan, akhlak dan petunjuk dari Nabi SAW. Selamat menonton..






Tuesday, 26 February 2013

Sunnah Yang Ditinggalkan!

Assalamualaikum. Hari ini saya nak kongsikan kisah daripada ustaz saya. Kisahnya begini. Ketika ustaz berada di tingkatan 3 kalau tidak silap saya, dia bersekolah di sekolah maahad @ pondok. (saya tak berapa ingat). Pada ketika itu, kerajaan memberikan sumbangan buku yang banyak. Ustaz belek-beleklah buku yang ada di situ. Dalam leka membelek buku-buku yang ada di situ, ustaz terjumpa sebuah buku yang tajuknya lebih kurang ’20 amalan sunnah yang telah dilupakan’. Nampak menarik. Ustaz pun baca. Alangkah terkejutnya ustaz apabila buku itu mengatakan lambang A itu adalah sunnah Yahudi. Terus ustaz saya simpan soalan ini dalam otak untuk bertanyakan kepada mereka yang alim.

Ditakdirkan Allah, ustaz dapat menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir. Pada malam itu, selepas habis pengajian daripada syeikh (saya tak ingat namanya siapa) di situ, ustaz mengambil peluang untuk bertanyakan soalan itu kepada syeikh yang mengajar tadi. Dilihat syeikh bersama Syeikh Yusuf Al-Qaradawi sedang duduk bersembang. Ustaz meminta kebenaran dan syeikh itu memberi kebenaran.

“Syeikh, apa hukum kalau kita buat begini? (sambil membuat lambang A)”

Syeikh menepis tangan ustaz saya. Syeikh Yusuf Al-Qaradawi terkejut.

“Biadap kamu.” kata syeikh itu sambil menuding tangan kepada ustaz saya.

“Kenapa syeikh? Kalau diikutkan kebiasaan orang Malaysia, kalau kami nak menunjukkan sesuatu, macam itulah yang kami guna.”

Syeikh menggeleng kepala. “Kalau kamu nak tau, itulah amalan Yahudi yang telah di ajarkan kepada kamu, warga Malaysia. Yahudi tidak akan boleh duduk senang selagi mana kamu tidak mengikut mereka. Jadi ini adalah tugas kamu untuk beritahukan hal ini kepada penduduk Malaysia.” ujar syeikh.

“Jadi, macam mana kami nak tukar daripada menggunakan lambang A itu?”

“Kamu gunakanlah begini, (sambil menunjukkan seperti lambang B). Itulah sunnah Rasulullah s.a.w.”

Ustaz mengangguk dan beredar.
---------------------------------------------------------------





Harapnya atas perkongsian saya yang tidak seberapa itu dapat memberikan pencerahan kepada anda semua. Sebabnya kita sekarang kalau nak tunjukkan sesuatu menggunakan lambang B, orang kata kita ni biadap. Dah terbalik, sunnah Rasulullah dikatakan biadap, sunnah Yahudi kita kata baik.

Moga dapat dikongsikan kepada rakan-rakan yang lain. Perkara ini penting untuk saya sampaikan. Takutnya kita di Padang Mahsyar nanti kita terlepas daripada syafaat Rasulullah hanya disebabkan kita tidak sebarkan perkara yang besar ini kepada orang lain.

#Sebar-sebarkanlah. Moga dirimu mendapat keredhaan daripada Allah#

Monday, 4 February 2013

Jangan bersedih..




Berikut adalah hadis yang berkait rapat dengan orang yang sedang sedih:

“Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Yang Maha Agung dan Maha Lembut, Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Tuhan ‘Arasy yang agung. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Tuhan langit dan bumi dan Tuhan ‘Arasy yang mulia..”(HR Bukhari 7/154 dan Muslim 4/2092)

“Ya Allah, rahmat-Mu aku harapkan, janganlah Engkau serahkan (segala urusanku) kepada diriku walau sekejap mata, perbaikilah segala urusanku, tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau..”(HR Abu Dawud 4/324, Ahmad 5/42, Shahih Abu Dawud 3/959)

- Janganlah menangis kalau tidak tercapai cita-cita. Bukankah Tuhan yang telah menentukannya.

- Janganlah menangis kerana cinta tidak berbalas, mungkin dia bukanlah jodoh yang telah Tuhan tetapkan.

- Janganlah menangis jika gagal dalam peperiksaan mungkin kita kurang membuat persediaan.

- Jangan menangis kalau wang kita hilang di jalanan sebab mungkin kita kurang bersedekah buat amalan.

Allah tidak meninggalkan kita, walau seluruh dunia menyisihkan kita. Dia, menyuruh kita menyambungkan harapan kita kepada-Nya. Maka jangan berputus asa. Allah bersama kita.

Ketika Allah rindu pada hamba-Nya, ia akan mengirimkan sebuah hadiah istimewa melalui malaikat Jibrail yang isinya adalah ujian. Dalam hadits qudsi Allah berfirman: “Pergilah pada hamba-Ku  lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana aku ingin mendengar rintihannya.” – (HR Thabrani dari Abu Umamah)



Friday, 24 August 2012

WAJAR TUTUP AURAT WALAUPUN DALAM GELAP

 

Pakaian adalah sebahagian nikmat Allah yang tertentu bagi manusia. Pakaian adalah satu keperluan penting bagi manusia. Secara lahirnya, pakaian melindungi manusia, tetapi secara batinnya adalah lambang kemuliaan insan. Memelihara dan melindungi diri daripada panas, sejuk, cahaya matahari dan hujan adalah tujuan asas berpakaian. Hal ini seperti firman Allah bermaksud :

“Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian daripada yang diciptakan-Nya, benda untuk berteduh dan Dia menjadikan bagi kamu sebahagian daripada gunung-ganang sebagai tempat berlindung, dan Dia juga menjadikan bagi kamu pakaian yang memelihara kamu daripada panas dan sejuk, juga pakaian yang memelihara kamu ketika berjuang. Demikianlah Dia menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepada-Nya dan mematuhi perintah-Nya.” (Surah An-Nahl ayat 81)

Aspek pemakaian adalah perkara penting dalam membentuk keperibadian seseorang. Hari ini, umat Islam diperlihatkan dengan pelbagai bentuk fesyen pakaian yang menampakkan sebahagian tubuh.

Oleh itu, kedatangan nur Islam sebagai agama suci yang sifatnya sebagai penjamin keselamatan dan kesejahteraan manusia di dunia dan akhirat menggariskan beberapa adab berpakaian. Ia bagi memelihara kesucian diri dan membentuk peribadi Muslim sejati.

Antara adab itu ialah :-

- Disunatkan dimulakan dengan membaca Bismillah apabila hendak memakai pakaian. Hal ini kerana memang disunatkan membaca Bismillah dalam setiap pekerjaan.

- Berniat untuk menjunjung perintah Allah iaitu menutup aurat, bukan dengan tujuan bermegah dengan pakaian itu. Ia juga bukan maksud untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

Firman Allah bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami turunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan, dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah daripada tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” (Surah al-A'raaf, ayat 26)

- Berdoa ketika mengenakan pakaian. Hal ini seperti sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan Ibnu Sunni bermaksud: “Daripada Said Al-Khudri bahawas Nabi apabila memakai baju, baju luar atau serban, Baginda berdoa: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu daripada kebaikannya dan kebaikan yang ada padanya, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukannya dan keburukan yang ada padanya.“

Di samping itu, Rasulullah berdoa ketika memakai pakaian baru berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi daripada Ibn Umar, katanya: “Aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesiapa yang memakai pakaian baru hendaklah dia berdoa: “Segala puji bagi Allah yang memakaikan aku dengan pakaian yang boleh menutup auratku, dan ia membuat aku indah dalam hidupku”.

“Baginda kemudian mengambil pakaian lama dan menyedekahkannya. Nescaya ia berada dalam pemeliharaan Allah dan di jalan Allah ketika hidup dan selepas mati.”

- Memakai pakaian biasa dan sederhana, tidak terlalu mahal dan tidak terlalu murah.

- Memastikan pakaian itu sentiasa bersih supaya sah dipakai untuk beribadah kerana orang beriman hendaklah sentiasa bersih badan dan pakaiannya. Firman Allah bermaksud: “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.” (Surah Muddasir, ayat 4)

- Menjauhi pakaian ketat dan jarang (nipis) bagi lelaki dan wanita dan berusaha mendapatkan pakaian yang dapat menutup tubuh dan selesa ketika memakainya.

- Menghindari berhias-hias dan tidak mendedahkan aurat yang wajib ditutup.

Ada beberapa hadis yang memperkatakan aspek pemakaian yang digariskan oleh Rasulullah sebagai prinsip asas pemakaian sopan bagi umat Islam.

Antara hadis itu adalah lelaki tidak boleh memakai pakaian yang menyerupai wanita dan sebaliknya. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, daripada Abi Hurairah, katanya, Rasulullah bersabda bermaksud: “Allah mengutuk lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki.”

Hadis lain menyebutkan bahawa haram bagi kaum lelaki memakai pakaian yang dibuat daripada sutera. Diriwayatkan oleh at-Tirmizi daripada Abu Musa bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: “Haram pakaian sutera dan emas atas kaum lelaki dari kalangan umatku, dan dihalalkan bagi kaum wanita mereka."

Disebutkan juga pakaian yang baik adalah yang mempunyai lengan baju sampai ke pergelangan tangan. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan Abu Daud daripada Asma' Biniti Yazid, katanya: “Lengan baju Rasulullah hingga ke pergelangan tangan.”

Syarak turut mendefinisikan bahawa aurat adalah sesuatu yang wajib disembunyikan dan haram dilihat. Menurut pendapat jumhur ulama, disyaratkan menutup aurat sekiranya terdaya, sekalipun ketika bersendirian dalam gelap.

Menurut pendapat Imam Hanafi, wajib menutup aurat ketika berada di khalayak ramai, begitu juga ketika berseorangan. Sabda Rasulullah bermaksud: “Wahai Asma', perempuan apabila meningkat umur haid (umur baligh), tidak boleh dilihat padanya kecuali ini dan ini.” (Baginda pun menunjukkan muka dan kedua-dua tapak tangannya)

Menurut ijmak ulama, wajib menutup aurat dalam semua keadaan sama ada waktu sembahyang atau tidak.

Secara keseluruhannya empat mazhab utama dalam fiqh Islam iaitu Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali menetapkan bahawa aurat bagi lelaki adalah antara pusat dan lutut.

Bagi wanita keseluruhan tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan berdasarkan nas yang kuat daripada al-Quran dan sunnah. 




Ada banyak nas yang menyatakan kewajipan menutup aurat antara hadis riwayat Bahzu Bin Hakim daripada datuknya yang bermaksud : “Aku berkata, wahai Rasulullah, aurat apakah boleh kita dedahkannya dan apakah ditegah? Sabda Baginda: “Peliharalah aurat kamu melainkan daripada isteri dan hamba milikmu. Kataku, sekiranya ramai orang?”

Sabda Baginda: “Jika terdaya mengelak daripada dilihat oleh sesiapa pun, maka jangan dibiarkan dilihat.”

Kataku: “Jika salah seorang daripada kami berseorangan? Baginda bersabda: “Maka Allah lebih utama untuk malu kepadanya.”

Menutup aurat bagi lelaki tidak wajib dari pandangan sendiri, tetapi makruh melihat auratnya, apatah lagi bagi pandangan orang lain. 





Aurat bagi wanita ketika di luar sembahyang dan hadapan orang lelaki bukan mahramnya adalah seluruh badannya. Ketika di hadapan wanita bukan Islam juga wajib ditutup seluruh tubuhnya kecuali anggota yang terpaksa dibuka untuk keperluan pekerjaan dan menunaikan hajat.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri bermaksud: “Orang lelaki tidak boleh memandang memandang aurat lelaki lain dan orang perempuan tidak boleh memandang aurat perempuan lain, dan orang lelaki tidak boleh tidur bersama lelaki lain dalam satu pakaian dan orang perempuan tidak boleh tidur bersama perempuan lain dalam satu pakaian.”

Sunday, 15 January 2012

Makan Cara Sihat Ikut Sunnah Nabi


KITA berpantang dan mengawal tabiat makan apabila diserang penyakit. Lebih teruk jika doktor hanya membenarkan kita makan dalam kuantiti sedikit atau makanan tertentu.
Hakikatnya, amalan mengawal tabiat pemakanan selepas jatuh sakit adalah tindakan salah. Kita patut mengawal pemakanan seawal usia remaja, bukan apabila memasuki fasa 40-an.

Tabiat pemakanan yang boleh diteladani ialah mengikut sunah Rasulullah s.a.w. Jika dikaji, amalan pemakanan baginda amat bertepatan dengan al-Quran bermaksud: “… makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan…” (Surah al-A’raf, ayat 31).

Petua menjaga kesihatan cara Rasulullah turut mengambil kira sistem tubuh manusia. Sebagai mesin, ia memerlukan bahan bakar iaitu makanan untuk membolehkannya melaksanakan kerja, tetapi kuantiti makanan yang masuk ke perut mesti dikawal.

Sebenarnya, menjaga dan mengawal perut daripada makan terlalu banyak adalah kaedah pencegahan penyakit yang berkesan. Sebab itu ramai ilmuwan perubatan dan tabib zaman lampau sering bermadah ‘lapar itu ubat’.

Mengambil makanan dalam kuantiti banyak adalah amalan buruk kerana ia memberatkan organ dan sistem pencernaan sehingga ia lemah dan tidak mampu mencerna secara teratur dan berkesan.

Makanan dalam jumlah yang banyak menyebabkan pelbagai penyakit. Justeru, kaedah rawatan dan pencegahan penyakit yang terbaik sepatutnya bermula dari perut – pastikan kuantiti dan jenis makanan yang masuk ke perut terkawal.

Nabi Muhammad ada menyebut ‘perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit’. Selain kuantiti makanan, petua kesihatan Nabi turut mengambil kira isi padu makanan.

Baginda lebih mengutamakan makanan lembut, terutama jika baru sembuh atau melalui proses pemulihan. Dalam satu hadis daripada Siti Aisyah r.a, beliau berkata: “Jika Rasulullah diberitahu si fulan sakit dan tidak ada nafsu makan, baginda bersabda: Berikanlah kepadanya ‘talbiinah’! Kata baginda lagi, Demi Allah, ia mencuci perut seseorang seperti kamu membersihkan mukamu daripada kotoran!”

Talbiinah ialah sejenis makanan masyarakat Arab menyerupai bubur atau susu. Ia lembut dan tidak membebankan perut. Makanan ini juga kaya serat dan banyak membantu proses penghadaman.

Disiplin pemakanan yang diamalkan Rasulullah biasanya mengelak makanan itu mendatangkan penyakit kepada individu yang sihat, manakala bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan, ia mengelak penyakit menjadi semakin serius.

Contoh peristiwa Nabi Muhammad s.a.w mengajar pemilihan makanan ketika sakit ialah sebagaimana hadis riwayat Ibnu Maajah dari Ummul Mundzir Qois al Anshoriyah, katanya:
“Suatu hari Rasulullah berkunjung ke rumah kami bersama Ali k.a yang ketika itu baru sembuh daripada sakit. Kami mempunyai buah daliah (sejenis buah-buahan di tanah suci), lalu Rasulullah mengambil dan memakannya dan Ali juga memakannya.
“Baginda berkata kepada Ali: Engkau baru saja sembuh daripada sakit.
“Lalu Ali berhenti memakannya. Kemudian saya buatkan masakan dari gandum dan saya berikan kepada mereka berdua, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Ali, nah, ini lebih sesuai bagimu!”

Larangan Rasulullah kepada Ali yang baharu sembuh daripada sakit agar tidak memakan daliah sebagaimana dalam hadis di atas adalah kaedah pencegahan atau berpantang. Buah-buahan yang sifatnya mudah terurai mungkin memberi mudarat bagi mereka yang baru sembuh.

Ketika baru pulih daripada sakit, perut belum cukup kuat kerana ia sibuk bekerja menghakis sisa penyakit dari dalam perut dan badan. Sebaliknya, Rasulullah menggalakkan Ali mengambil masakan daripada gandum kerana air daripada gandum itu dapat menguatkan tubuh. Namun, baginda membenarkan pengambilan makanan yang tidak sesuai, tetapi dalam kuantiti sedikit sekadar menghilangkan keinginan.

Perkara menarik mengenai kaedah makanan seimbang yang diajarkan Rasulullah ialah baginda tidak membataskan pada satu jenis makanan saja. Contohnya, baginda menyeimbangkan makanan bersifat panas dengan sejuk. Dari segi komposisi makanan, baginda tidak pernah mengambil susu dan ikan atau susu dan telur atau daging dan susu atau antara makanan yang kedua-duanya mempunyai sifat panas atau sifat dingin serentak.

Baginda juga tidak mengambil dua jenis makanan yang mempunyai sifat cepat dicernakan dan lambat dicernakan, serentak. Rasulullah tidak mengambil makanan yang masih dalam keadaan panas atau makanan yang disimpan semalaman, makanan awet atau diasinkan seperti acar kerana semua itu memudaratkan kesihatan.

Kita juga patut mengelak mengambil makanan segera dan minuman berkarbonat, walaupun sedap, tetapi memudaratkan apatah lagi mengandungi perasa tiruan dan sintetik.

Rasulullah gemar makanan yang mengandungi unsur manis semula jadi dan madu malah baginda suka mengambil buah-buahan sebagai makanan tambahan.

Mengenai madu, Nabi mempunyai disiplin pengambilan madu yang baik untuk dicontohi, iaitu mengambilnya pada waktu pagi sebelum sarapan. Madu dicampurkan dengan air dingin sebelum diminum. Ini bertujuan mencairkan lendir dan membersihkan sistem pencernaan.

Selain jenis dan kuantiti makanan, satu aspek lain penjagaan kesihatan Rasulullah s.a.w ialah cara baginda duduk ketika makan, iaitu dalam posisi ‘mutawarikan’, iaitu meletakkan pinggul pada kedua-dua tumit dan menempatkan telapak kaki kiri di atas punggung kaki kanan.

Postur badan penting dalam menentukan kebaikan ketika pengambilan makanan. Contohnya, baginda melarang makan sambil bersandar sebagaimana sabdanya bermaksud: “Saya tidak makan sambil bersandar.”
Baginda juga melarang minum sambil berdiri, kecuali jika dalam keadaan terpaksa. Baginda mempunyai disiplin khusus dari segi minuman.

Berdasarkan petunjuk Nabi s.a.w, makruh minum selepas melakukan olahraga atau sebaik selesai melakukan sesuatu kerja berat atau sebaik habis makan atau sebelum makan. Semua itu tidak baik untuk kesihatan. Sebaliknya, biarkan beberapa detik berlalu apabila selesai aktiviti berat atau makan, kemudian minum.

Rasulullah s.a.w mempunyai petua unik ketika minum. Dalam satu hadis dari Anas bin Malik bermaksud: “Rasulullah minum dengan tiga kali nafas. Baginda berkata: Hal itu lebih melegakan dan lebih menyihatkan.”
Maksud bernafas tiga kali ketika minum ialah dengan menjauhkan bekas atau cawan dari mulut, lalu bernafas atau seolah-olah menghisap air yang sedang diminum. Larangan bernafas di dalam gelas ketika minum ditemui dalam hadis bermaksud: “Jika seseorang di antara kalian minum maka janganlah bernafas di dalam gelas minuman, tetapi hendaklah direnggangkannya dari bibir.”

Dan, pasti yang paling penting dan mungkin dilupakan kita apabila makan atau minum ialah membaca ‘basmalah’ (membaca Bismillah) dan mengucapkan ‘hamdalah’ (Alhamdulillah) apabila selesai. Ia banyak keberkatan dari segi kesihatan.

Rahsia besar Rasulullah s.a.w yang patut menjadi teladan ialah baginda tidak pernah mencela makanan yang tidak disukainya atau kurang enak. Ini terkandung di dalam hadis bermaksud:
“Anas berkata: Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Jika berselera dimakannya, dan jika tidak maka ditinggalkannya.”

Justeru, semua orang tidak wajar menunggu hari tua atau berusia lewat 40-an untuk memulakan amalan pemakanan sihat. Mulakanlah sekarang!

Kepentingan menjaga pemakanan dapat difahami daripada hadis Nabi saw yang diriwayatkan at-Turmudzi dari Abdullah al-Ashory, Rasulullah saw bersabda bermaksud:
“Sesiapa dalam keadaan badan sihat, aman dalam penghidupan dan ia memiliki makanan sehari-hari yang cukup, maka seolah-olah dunia ini miliknya.”