
Ketika Amirul Mukminin Khalifah Umar bin al-Khattab RA mengalami
sakratul maut, beliau meminta kepada anaknya supaya meletakkan pipinya
di atas tanah. Umar RA menangis sambil berkata: ”Semoga Allah
mengampuniku, Wahai Tuhan Pemilik Kerajaan yang tidak akan hilang,
kasihanilah orang yang kerajaannya telah hilang.”
Mati yang diimpikan oleh orang beriman adalah mati yang membawa
kepada kehidupan yang baru. Hidup dalam pelukan rahmat Tuhannya.
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: ”Janganlah kamu menyangka
bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah itu mati, bahkan mereka
itu hidup, di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki.” Surah Ali ‘Imran:
Ayat 169.
Terbunuh di jalan Allah bermakna mati syahid ketika berperang fi
sabilillah. Bagaimanakah pula halnya dengan hamba-hamba Allah yang mati
di atas katilnya? Yang menderita sakit atau orang yang mati tanpa sempat
mengucapkan kata-kata perpisahan kepada keluarganya? Adakah mereka
mendapat nikmat hidup di sisi Allah SWT sama seperti orang yang mati
syahid?
Sebenarnya mereka juga akan mendapat kenikmatan yang tak kurang
hebatnya berbanding saudara-saudara mereka yang syahid itu. Ini
dinyatakan menerusi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ”Jika salah
seorang di antara kalian mati, maka ditampakkan kepadanya tempat
tinggalnya setiap pagi dan petang. Jika ia ahli syurga maka ia termasuk
penghuni syurga dan jika ia ahli neraka maka ia termasuk penghuni
neraka. Lalu dikatakan: ”Inilah tempat tinggalmu hingga Allah
membangkitkanmu pada hari kiamat.” Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Ibnu Umar berkata: ”Perumpamaan orang mukmin saat roh dikeluarkan
dari jasadnya adalah seperti orang yang keluar dari dalam penjara ke
alam yang bebas. Ketika dia meninggal dunia ditampakkan kepadanya
kurniaan Allah dan kemuliaan-Nya yang tak pernah dilihatnya di dunia.
Tentu dia tidak mahu kembali lagi ke dunia sepertimana dia tidak mahu
kembali ke dalam perut ibunya.”
Mengaku diri tidak takut mati adalah pembohongan yang nyata. Siapa
yang tak gerun berhadapan dengan pertuduhan yang mempunyai bukti dan
saksi yang kukuh. Tiada tipu helah yang dapat dilakukan, walaupun ketika
hidup dia terkenal sebagai seorang yang petah bercakap, pandai berbelit
lidah, memutar balik fakta dengan pembohongannya tetapi di alam barzakh
nanti, wajah mayatnya yang pucat itu jelas menunjukkan tiada berguna
lagi lidah yang fasih berhujah.
Tangannya yang menunjukkan kuasa ketika di dunia telah terikat oleh
kafannya sendiri. Kaki yang kukuh menginjak kepala orang-orang miskin
itu kini jadi umpan kala dan ular berbisa. Wajah yang dulu berseri
hingga ramai manusia yang suka memandang dan memuji telah rosak binasa
oleh semut-semut tanah yang menyakitkan apabila mereka mula menggigit,
mengunyah perlahan-lahan daging di tulang pipinya, berpindah ke mulut
yang busuk lantaran suka mengumpat, naik ke tulang hidung yang sombong,
kedua biji mata yang gatal dan bernafsu itu kini binasa oleh tikus tanah
yang kelaparan. Tulang-tulang rusuk dihimpit bumi yang marah oleh
kezaliman yang dilakukannya dahulu. Jika semua manusia boleh mendengar
jeritan orang yang disiksa di dalam kuburnya nescaya tiada lagi
kehidupan di muka bumi ini.
Masihkah ada rasa takut yang lebih dahsyat daripada ketakutan melalui
malam pertama di dalam kubur? Bagaimana dengan rasa sedih yang
menghantui mayat yang terbuang sendirian? Di manakah isterinya,
anak-anak dan saudara mara yang mengasihi? Mereka tentu sibuk membahagi
harta yang ditinggalkan. Bagaimana perasaaan lelaki yang mengetahui
isterinya melupakan cinta mereka berdua? Kisah cinta yang terkubur
bersama jasad yang tiada layak untuk dicintai lagi. Bukankah ramai
lelaki lain yang boleh menjadi calon penggantinya nanti? Adakah
kesedihan yang lebih dahsyat daripada menyaksikan semua orang yang
menangis itu meninggalkannya sendirian tanpa teman dan pertolongan?
Perasaan sedih dan takut boleh menggoncangkan hati siapa sahaja di
dunia ini, tetapi kita boleh mengubat kesedihan dan mengawal ketakutan
itu jika kita masih hidup. Bagaimana jika kita sudah mati? Siapa yang
akan menolong kita dari siksaan perasaan sebegitu?
Hanya amal saleh yang mampu menjadi teman di kala takut dan sedih.
Mata yang membaca al-Quran, lidah yang berzikir, tangan yang bekerja
kerana Allah SWT dan kaki yang tegak kerana iman. Semuanya menjadi
cahaya di kegelapan kubur. Di dalamnya ada pemandangan syurga ataupun
neraka. Hingga ke hari kebangkitan yang dijanjikan.
sumber |: http://drjuanda.com/