Ramai yang bertanya mengapa pula
poligami boleh mengundang kepada neraka, bukankah poligami sunnah Rasulullah.
Benar, sesiapa yang mengamalkan sunnah Rasulullah akan beroleh pahala, syurga.
Tetapi siapa yang boleh memberi jaminan bahawa mereka yang mengamalkan poligami
pada hari ini benar-benar mengikut sunnah?
Sebenarnya sama ada kahwin poligami atau tidak, hukumnya adalah harus. Dan setiap yang harus kadang-kadang boleh menjadi wajib, boleh jadi sunat, boleh jadi makruh dan boleh jadi juga haram.
Bagaimanapun apabila seseorang itu telah secara rasmi berkahwin secara poligami, suami dan isteri-isteri terdedah kepada dosa yang boleh menghampirkan mereka kepada neraka. Semua ini adalah berpunca daripada kurang pengetahuan agama khususnya dalam soal hukum poligami sama ada suami atau isteri.
Di sini disenaraikan kesalahan yang sering terjadi kepada pengamal poligami:
1. Berbohong
Ada orang kata, bohong dalam poligami
tidak sampai masuk neraka kerana bohong diharuskan untuk menyelamatkan keadaan
yang gawat.
Dalam kes ini siapa yang gawat? Siapa
yang hendak diselamatkan hingga terpaksa mengguna senjata berbohong?
Jelas dalam kes ini suami berbohong untuk melepaskan dirinya sendiri. Maka dalam keadaan ini tidak ada keharusan dalam berbohong. Apatah lagi kalau pembohongan itu dilakukan berpanjangan tanpa henti, tentu berdosalah si suami itu.
Apabila seluruh hidupnya penuh dengan pembohongan, bahagiakah kehidupannya? Setiap detik gerak-gerinya dirasakan sedang diintai oleh isterinya. Maka sebelum dia dimasukkan ke dalam neraka di akhirat, hakikatnya dia telah memasukkan dirinya dalam neraka dunia.
2. Tidak Adil
Dalam keadaan di atas, suami tersebut tidak mungkin akan berlaku adil terhadap isterinya. Ada isteri yang teraniaya di sudut nafkahnya, ada juga isteri yang dicuaikan gilirannya dan ada isteri yang dibiarkan langsung atas alasan nusyuz dan sebagainya.
Bayangkan apa akan jadi kepada suami yang tidak adil kepada isteri-isterinya. Dia bukan sahaja berdosa dengan isterinya kerana tidak berlaku adil, dia juga berdosa terhadap Allah kerana melanggar perintah-Nya supaya berlaku adil. Sekali lagi suami dalam keadaan semakin hampir ke neraka.
Dalam sebuah hadis Rasulullah ada bersabda yang maksudnya, mana-mana suami yang tidak adil terhadap isteri-isterinya, di akhirat nanti dia akan berdiri dalam keadaan senget sebelah.
Berhubung dengan adil, yang paling penting ialah giliran malamnya. Dalam bab itu ramai suami atau isteri yang tidak tahu, lalu mereka terus melakukan dosa.
3. Salah Giliran
Sebenarnya giliran seseorang yang berpoligami adalah berdasarkan 24 jam sehari. Maknanya kalau dia menentukan gilirannya bermula pada waktu asar, maka berakhir tempohnya pada waktu asar esoknya. Berdasarkan itu jika dia bermalam dengan isterinya pada malam itu, maka esok siangnya adalah termasuk gilirannya juga. Begitu juga sebaliknya kalau suami bekerja malam, maka siangnya adalah mula gilirannya.
Dalam hal ini kalau suaminya keluar kerja sama ada siang atau malam, maka waktu keluar itu juga dikira masih giliran isterinya itu. Jadi, selagi dalam tempoh giliran isteri itu, suami tidak boleh mengambil kesempatan untuk tidur dengan isteri yang lain.
Dia boleh pergi ziarah isteri itu tetapi dia tidak boleh tidur bersama isteri itu. Dia boleh menghantar barang atau melihat anak dan isteri tetapi tidak boleh tidur dengannya. Jika berlaku persetubuhan sedangkan bukan gilirannya, maka perhubungan itu adalah haram. Jika lahir anak hasil persetubuhan itu adalah dikira haram, walaupun tidak sampai kepada hukum berzina.
Perkara inilah yang sering terjadi kepada pasangan poligami yang bermasalah semuanya hendak dirahsiakan. Boleh jadi pada malam Jumaat dia bersama isteri pertama, tetapi pada pagi Jumaat keesokannya dia singgah di rumah isteri keduanya dan pada kesempatan itu juga dia sempat bersama isteri tersebut. Sedangkan siang hari Jumaat itu adalah masih giliran isteri pertamanya.
Dalam kes ini, isteri pertama tahu suaminya ke tempat kerja, tetapi sebaliknya dia melencong ke rumah madunya. Jadi, selain dia menipu isterinya dia telah mencuri giliran isteri pertama untuk bersama isteri yang bukan gilirannya. Bayang berapa banyak dosa yang dilakukan oleh suami ketika itu. Semua ini kalau dia tidak bertaubat, sebaliknya mengekalkan amalan itu, pasti tempatnya adalah neraka.
Suami wajib Adil
di antara para isteri.
Setiap isteri berhak mendapatkan hak masing-masing dari suaminya, berupa nafkah berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain perkara yang diwajibkan Allah kepada setiap suami.
Adil di antara isteri-isteri ini hukumnya wajib, berdasarkan
firman Allah dalam Surah an-Nisak ayat 3 dan juga sunnah Rasul. Rasulullah
(s.a.w.) bersabda, maksudnya;
"Barangsiapa yang mempunyai dua isteri, lalu dia
cenderung kepada salah seorang di antaranya dan tidak berlaku adil antara
mereka berdua, maka kelak di hari kiamat dia akan datang dengan keadaan
pinggangnya miring hampir jatuh sebelah." (Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal)
i) Adil
memberikan nafkah.
Dalam soal adil memberikan nafkah ini,
hendaklah si suami tidak mengurangi nafkah dari salah seorang isterinya dengan
alasan bahawa si isteri itu kaya atau ada sumber kewangannya, kecuali kalau si
isteri itu rela. Suami memang boleh menganjurkan isterinya untuk membantu dalam
soal nafkah tetapi tanpa paksaan.
Prinsip adil ini tidak ada perbezaannya
antara gadis dan janda, isteri lama atau isteri baru, isteri yang masih muda
atau yang sudah tua, yang cantik atau yang tidak cantik, yang berpendidikan
tinggi atau yang buta huruf, kaya atau miskin, yang sakit atau yang sihat, yang
mandul atau yang dapat melahirkan. Kesemuanya mempunyai hak yang sama sebagai
isteri.
ii) Adil
dalam menyediakan tempat tinggal.
Selanjutnya, para ulama telah sepakat
mengatakan bahawa suami bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang
tersendiri untuk tiap-tiap isteri berserta anak-anaknya sesuai dengan kemampuan
suami. Ini dilakukan semata-mata untuk menjaga kesejahteraan isteri-isteri,
jangan sampai timbul rasa cemburu atau pertengkaran yang tidak diingini.
iii) Adil
dalam giliran.
Demikian juga, isteri berhak mendapat
giliran suaminya menginap di rumahnya sama lamanya dengan waktu menginap di
rumah isteri-isteri yang lain. Sekurang-kurangnya si suami mesti menginap di
rumah seorang isteri satu malam suntuk tidak boleh kurang. Begitu juga pada
isteri-isteri yang lain. Walaupun ada di antara mereka yang dalam keadaan
haidh, nifas atau sakit, suami wajib adil dalam soal ini. Sebab, tujuan
perkahwinan dalam Islam bukanlah semata-mata untuk mengadakan 'hubungan seks'
dengan isteri pada malam giliran itu, tetapi bermaksud untuk menyempumakan
kemesraan, kasih sayang dan kerukunan antara suami isteri itu sendiri. Hal ini
diterangkan Allah dengan firman-Nya;
"Dan di antara tanda-tanda yang
membuktikan kekuasaan-Nya, dan rahmat-Nya, bahawa la menciptakan untuk kamu
(wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang
hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri)
perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu
mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang
yang berfikir." (Al-Qur'an, Surah ar-Ruum ayat 21)
Andaikan suami tidak bersikap adil kepada
isteri-isterinya, dia berdosa dan akan menerima seksaan dari Allah (SWT) pada
hari kiamat dengan tanda-tanda berjalan dalam keadaan pinggangnya miring. Hal
ini akan disaksikan oleh seluruh umat manusia sejak Nabi Adam sampai ke anak
cucunya.
Firman Allah (SWT) dalam Surah
az-Zalzalah ayat 7 hingga 8;
"Maka sesiapa berbuat kebajikan
seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa
berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat
amalnya)."
Hal ini sesuai dengan apa yang telah
difirmankan Allah dalam Surah an-Nisak ayat 129 yang berbunyi;
"Dan kamu tidak sekali-kali akan sanggup berlaku adil
di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak
melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampau (berat
sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain
seperti benda yang tergantung (di awang-awang)."
Selanjutnya Siti 'Aisyah (r.a.) menerangkan, maksudnya;
Bahawa Rasulullah (s.a.w.) selalu berlaku adil dalam
mengadakan pembahagian antara isteri-isterinya. Dan beliau berkata dalam
doanya: "Ya Allah, inilah kemampuanku membahagi apa yang ada dalam
milikku. Ya Allah, janganlah aku dimarahi dalam membahagi apa yang menjadi
milikku dan apa yang bukan milikku."
Selain suami, isteri juga boleh terlibat
dengan dosa dalam beberapa kes. Antara dosa isteri ialah:
1. Isteri menghalang suaminya bagi memenuhi giliran pada isteri yang lain.
2. Isteri menggauli suaminya padahal dia tahu hari tersebut bukan gilirannya.
3. Isteri menyekat madunya daripada mendapat manfaat, nafkah dan sebagainya.
4. Isteri bersangka buruk terhadap suaminya lalu mengintip gerak-gerinya.
5. Isteri bersangka buruk terhadap madunya lalu mengintip gerak-gerinya.
6. Tindakan isteri itu menyebabkan madunya hilang hak kenikmatan hidup berkeluarga.
Jika isteri tersebut tidak bertaubat malah meneruskan kesalahan di atas, mereka memang dijamin neraka.
Jika seorang
pemimpin mampu menunaikan amanah dengan baik, memberikan hak-hak bagi orang
yang dipimpinnya, dan berbuat adil kepada diri, keluarga, dan rakyatnya, ia
termasuk orang yang paling dicintai Allah dan mendapat naungan dari sisi-Nya
pada Hari Kiamat. "Sehari menjadi pemimpin yang adil, lebih baik daripada
beribadah selama 60 tahun." (HR Ahmad).
terim kasih. ilmu yang bermanfaat.
ReplyDeleteSalam.. Mohon pencerahan waktu giliran yg adil tu ya ustaz.. Sy bernikah di songkla bila isteri pertama tidak setuju & mahu bercerai sekiranya kami berkahwin. Perceraian bkn perkara mudah bg suami sy yg telah berumahtangga dgn isteri pertama selama 25thn. Sy pula janda anak 2 yg perlukan seorang suami sbg pelindung & pembimbing anak2 sy yg telah diabaikan oleh bapa kandung mereka. Sy telah pertimbangkan segala buruk baik & setuju jd isteri tanpa pengetahuan isteri pertama. Mslh sy ustaz.. Suami sy hanya blk rumah pada siang hari pd waktu dia ada kelapangan dari kerja (suami ahli perniagaan). Boleh katakan setiap hari dia balik utk mengurus hal2 dirumah..makan..dan bersama.. Sy pernah tya klu kerap bersama sy bagaimana dgn isteri pertama? Sy takut hubungan kami jadi haram. Jwpn suami sy isteri pertamanya sudah lama tidak mahu digauli kerana sudah berumur sedangkan dia masih bernafsu. Apa pandangan ustaz tentang perkara ini?
ReplyDeleteilmu yg bermanfaat ustaz .. tp lain pulak kes saya , saya bermadu tp saya selalu kena dengan madu saya , suami saya pun sama takut dengan madu saya sehingga saya tidak mendapat apa yg sepatutnya hak saya , sama ada zahir dan batin , tapi saya redah dan sabar menerima semua dugaan ini. saya isteri kedua .. dari sabah
ReplyDeleteilmu yg bermanfaat ustaz .. tp lain pulak kes saya , saya bermadu tp saya selalu kena dengan madu saya , suami saya pun sama takut dengan madu saya sehingga saya tidak mendapat apa yg sepatutnya hak saya , sama ada zahir dan batin , tapi saya redah dan sabar menerima semua dugaan ini. saya isteri kedua .. dari sabah
ReplyDeleteSaya xpenah menerima nafkah zahir.. sdgkan isteti kedua yg slalu dberi nafkah... berupa duit dan sebagainya...
ReplyDeleteSaya xpenah menerima nafkah zahir.. sdgkan isteti kedua yg slalu dberi nafkah... berupa duit dan sebagainya...
ReplyDeleteSaya xpenah menerima nafkah zahir.. sdgkan isteti kedua yg slalu dberi nafkah... berupa duit dan sebagainya...
ReplyDelete