Pages

Sunday 13 November 2011

Semua Hanya Pinjaman




Perlahan tubuh munggil itu dibaringkan di atas katil. Di usap rambut anak kecil tersebut. Satu kucupan kasih diberikan di dahi si anak. Di renung jasad si anak dengan senyuman sambil air mata kasih mengalir di pipi. Baru siang tadi si anak kegeringan yang amat berat. Menjelang senja si anak semakin tenang dari rengekan dek sakit yang di tanggung. Dan kini, si anak memang benar-benar tenang dan damai. Jasad si anak lalu diselimuti dengan gebar yang nyaman agar tidak kesejukan dek suasana malam yang sepi.

Yang hanya terucap olehnya hanyalah….

Innaa lillahi wa innaa ilaihi raji’uun Allohumma’jurnii fi mushiibati wa akhlif li khoiron minha 

“Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya kami akan kembali (di hari Kiamat). Ya Allah! Berilah pahala kepadaku dan gantilah untukku dengan yang lebih baik (dari musibahku).”( HR. Muslim 2/632 )

Menjelang malam, suami tercinta kembali dari menunaikan ibadah di masjid.

“Sayang ku, bagaimanakah keadaan putera kesayangan kita ?” tanya Abu Talhah

“Alhamdulillah. Anak kita semakin tenang. Dia sudah berhenti menangis.” Jawab Ummu Sulaim bersama senyuman manis buat suami tercinta.

Terhibur hati si ayah mendengar perkembangan kesihatan si anak di bawah jagaan isterinya yang penyayang. Lantas Ummu Sulaim menghidangkan makanan istimewa yang lazat-lazat buat si suami.

"Malam ini, malam istimewa buat kita. Sayang hidangkan makanan yang lazat-lazat kerana sayang tahu, diri abang kepenatan dek mencari rezeki buat kami siang tadi. Makanlah sayang ku. Akan ku layan diri mu umpama seorang dayang melayan seorang raja yang mulia." ujar Ummu Sulaim sambil membelai tubuh suaminya.

Tersenyum Abu Talhah. Direnung wajah ayu si isteri. Diusap pipi si isteri dan dikucup dahinya sebagai tanda terima kasih.

Layanan Ummu Sulaim bukan sekadar hidangan yang enak dan lazat. Malah dihiasi dirinya dengan dandanan yang cantik dan menghairahkan, agar si suami terlupa akan masalah yang dihadapinya siang tadi. Hidangan yang istimewa dan berdandan serta berhias dengan wangi-wangian, membuat Abu Thalhah tertarik dan mengajaknya tidur bersama.

Setelah suaminya terlelap, Ummu Sulaim memuji kepada Allah kerana berhasil mententeramkan suaminya perihal musibah yang menimpa putera kesayangan mereka, kerana dia menyedari Abu Thalhah telah mengalami keletihan seharian, sehingga dia membiarkan suaminya tidur dalam keadaan terhibur dan puas.

Menjelang subuh, Ummu Sulaim berbicara pada suaminya, seraya bertanya,

"Wahai kasih ku, apa pendapatmu jika ada seseorang meminjamkan barang kepada jirannya lalu dia meminta kembali barang tersebut di pulangkan, adakah perbuatan meminta untuk dipulangkan oleh si pemberi pinjam itu salah ?"

"Tidak," jawab Abu Talhah.

"Bagaimana pula jika si peminjam enggan mengembalikannya setelah menggunakannya?"

"Pastinya si peminjam bukan seorang yang mulia dan tidak amanah."Abu Talhah menukas.

"Sayang ku, begitu juga dengan putera kesayangan kita. Allah meminjamkannya pada kita dan pemiliknya telah mengambilnya kembali. Relakanlah ia kembali ke sisi Allah," kata Ummu Sulaim dengan tenang.

Ummu Sulaim memang seorang ibu mukminah yang sabar. Ia menerima peristiwa kembalinya putera tersayang ke hadrat Allah dengan sabar dan tenang. Ummu Sulaim bukan hanya seorang ibu yang mukminah yang sabar, dia juga seorang isteri yang soleha dan pandai menghibur hati si suami, Kedudukan Abu Talhah sebagai salah seorang kaum Ansar yang paling berjaya dibidang perniagaan.

Saat Ummu Sulaim dilamar oleh Abu Talhah, Abu Talhah masih lagi belum beriman.Pun begitu, bukan kekayaan yang dijadikan ukuran. Juga bukan rupa paras ketampanan mahu pun keupayaan bermain ayat-ayat cinta yang diinginkan. Melainkan mahar yang paling mahal iaitu ucapan kalimah syahadah dan keimanan yang dijadikan dambaan. Kerana hanya IMAN yang teguh mampu menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Lantaran masih hijau dan muda keislaman si suami, Ummu Sulaim menunjukkan jalan bimbingan agar si suami mendapatkan didikan langsung dari Rasulullah SAW. Agar iman yang terpahat bak akar tunjang yang teguh mencengkam ke bumi, tidak kan tumbang pokok dek desakan sang badai.

Di saat suami perlukan sokongan, Ummu Sulaim hadir bersama sandaran iman. Agar hati suami tidak goyah dek ujian dan godaan yang mendatang. Hati si suami diingatkan akan kebesaran Allah agar terhibur dan bangkit semula roh Islami si suami.

Inilah Ummu Sulaim. Wanita mukminah yang solehah.

No comments:

Post a Comment