Pages

Monday 11 February 2013

Menjadi madu yang baik...



Antara persoalan yang tiba di blog sisi kehidupan ini adalah bagaimana untuk menjadi isteri yang baik di alam poligami. Moga Allah membantu kalian yang berniat dan berusaha menjadi isteri pertama dan kedua yang baik. (Juga yang ketiga dan keempat). Sesungguhnya ALLAH menghitung sekecil-kecil kebaikan yang diniatkan dan diusahakan.

Ketika saya mula-mula bernikah, melangkah masuk ke rumah yang disediakan suami, telah tersedia beberapa barang-barang asas e.g gelas, bekas air/jug, container, beberapa jenis minuman yang suami biasa minum, beberapa set cadar dan sarung bantal, beberapa helai selimut etc - yang masih kami gunakan sehingga kini. Siapakah yang membantu dalam menyediakan semua itu?

Madu yang baik.

Alam poligami menuntut suami bergilir-gilir ke rumah para isteri. Alhamdulillah antara kami suami  dan isteri-isteri ada mutual respect dan understanding. Kadangkala ada situasi yang menuntut suami menukar giliran hari, ada ketika saya dan anak dalam situasi memerlukan suami, maka siapakah yang berlapang dada dan sangat bertimbang rasa untuk memberi hari giliran pada saya?

Madu yang baik.

Saya menjalani alam poligami yang mungkin pada sesetengah orang nampak mencabar, namun dengan doa suami dan para isteri, ALLAH membantu kami mengatasi cabaran-cabaran itu. Saya tidak kata kami para isteri adalah malaikat yang suci, kami manusia biasa yang kadang terjatuh ke dalam perasaan negatif dan tidak enak. Namun siapakah insan yang turut mendoakan Allah menjaga perasaan, iman dan kebaikan dalam keluarga kami?

Madu yang baik.

Bila suami akan dan telah bernikah lagi, saya menghadapi fasa baru yang mencabar perasaan dan menuntut kesyukuran jua kesabaran. Siapakah antara yang mendengar dengan keprihatinan dan memberi semangat dan kekuatan? Yang berpesan-pesan ke arah keimanan dengan kasih sayang?

Madu yang baik.

Bila saya tak sihat dan anak pun tak sihat, siapakah yang mengorbankan masanya untuk membenarkan suami menziarahi, sekalipun masa suami untuk dirinya sendiri terbatas?

Madu yang baik.

Ini hanyalah sebahagian kebaikan yang saya terima daripada madu-madu saya. Saya percaya, di luar sana ada di antara kalian yang telah menjadi isteri-isteri yang baik di alam poligami. Bolehlah kongsikan juga agar kami dapat mencontohi dan menteladani. Moga Allah membalas madu-madu saya dan kita semua dengan kebaikan dunia akhirat.

Saya memerhati dan belajar dari madu-madu saya sekadar yang saya nampak dan tahu. Di belakang saya,  sesungguhnya ALLAH lah sebaik baik penilai ke atas kebaikan mereka semua memberi komitmen pada kebahagiaan keluarga poligami ini. Saya berusaha mencontohi sekadar yang mampu.

Maka, saya pun berusaha membantu membeli apa-apa barang keperluan suami di rumah bakal isteri ketiga. Saya menemani suami melihat-lihat rumah yang bakal mereka duduki. Saya membantu suami memikirkan perancangan masa dan hari giliran. Saya menemani suami ketika ada keperluan berjumpa bakal isteri dan keluarganya. Saya berusaha membantu isteri ketiga mengenali dan memahami suami saya, agar mereka lebih mudah membina keserasian.

Itulah yang mampu saya lakukan buat masa ini untuk membantu madu saya juga suami. Perkongsian ini bukan untuk menunjuk-nunjuk kebaikan, sekadar mengharap ia memberi manfaat pada kalian yang memerlukan. Adakah semua itu berlaku tanpa ada warna warni perasaan? Cemburu saya pada madu-madu usah ditanya, kerana itu adalah pasti selagi hidup bukan di syurga :D

Namun moga itu tidak menghalang para isteri untuk terus saling percaya, saling doa dan saling cinta.  ♥ ♥ ♥♥

Kami para isteri dan bakal isteri bermujahadah agar tidak larut dalam perasaan perempuan yang turun naik. Terima kasih suami yang juga berusaha semampunya berbuat keadilan, moga ALLAH meneguhkan hati dan langkahnya menjaga salah satu amanah tuhan yang bernama perkahwinan.



p/s : Disalin dri blog seorg mujahidah... semoga dia kekal menjadi srikandi agama Allah, Rahmati dia & keluarganya Ya Allah.. aaminnn...

No comments:

Post a Comment