Pages

Monday 25 February 2013

GRESKIL (Grayscale)



Pensil dan kertas yang kau beri masih di tangan
Berfikir sejenak, perlukah aku
Mencari lukisan baru untuk dilakar
Atau halusi kembali gelap hitam lakaran semalam
Biar tiada lagi putih yang mengisi ruang
Sedangkan kau tahu aku sudah bosan
Setabah mana pun aku cuba melukis
cuma hitam dan putih yang kelihatan di kanvas kehidupan

Aku tetap menanti kau hadiahkan aku pensil warna
Perhatilah,
Mana mungkin hitam ku olah menjadi biru
Buat membezakan warna langit dan laut
Sedangkan pasir dan pantai ada warna tersendiri
aku turuti andai kau pinta bulan di birukan
Walaupun aku lebih senang ia nya jingga
Kerana aku yakin
selagi horizon menjadi sempadan
Kelam Hitam hanya di langit malam
Takkan merubah biru lautan
Sebagaimana aku mula mengerti pasang surutnya laut
Aku ingin kau tahu
Kanvas  kehidupanku perlu diwarnai
Kerana aku rindu warna pelangi

Aku masih berusaha mengindahkan lukisan itu
selagi kau sediakan warna-warna yang kuperlukan
Akan ku halusi setiap inci ruang hingga siap
apabila ketika kau melihatnya
dibingkai dan digantungkan di tengah laman
kau pasti tersenyum bangga
lengkapnya sebuah lukisan dengan warna pemberianmu
bukan terbiar kusam, berdebu apatah lagi dilayang angin

Ajarkan aku bagaimana mencari diri dalam sebuah lukisan
Agar aku pandai mentafsir tersirat di sebalik tersurat
Membezakan antara ortografik, isometri dan oblik
Kerana kau lebih mahir bermain dengan warna catan
dan kau lebih tahu menilai erti secalit warna di kanvas kehidupan.


No comments:

Post a Comment